EWF 2025: KPT Komited Perkasa Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Melalui Inisiatif Transnational Education (TNE)

Di hari terakhir lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim ke United Kingdom, beliau telah menyertai sesi perbincangan mengenai pendidikan rentas negara (Transnational Education, TNE) sempena Forum Pendidikan Dunia 2025 (Education World Forum – EWF 2025).
YBhg. Datuk Dr. Anesee telah tampil sebagai ahli panel dalam sesi Parallel 7A yang bertemakan "How might transnational education help meet socio-economic priorities for growth". Sesi tersebut turut menampilkan Ketua Pengarah Institut Pendidikan Kebangsaan Sri Lanka, Manjula Vithanapathirana. Turut serta ialah Pengarah Kanan Rundingan Times Higher Education (THE), Ishan Cader, manakala Fabrizio Trifiró bertindak sebagai moderator.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Datuk Dr. Anesee menekankan bahawa TNE bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan pendidikan tetapi turut memainkan peranan besar dalam pembangunan sosioekonomi negara. Antara bentuk TNE yang diketengahkan adalah penubuhan kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia.
Sehingga kini, sebanyak 11 kampus cawangan universiti dari United Kingdom, Australia, China dan Jepun telah beroperasi di Malaysia. Kejayaan ini mencerminkan keyakinan negara luar terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia.
Penubuhan kampus ini turut membawa manfaat besar seperti pemindahan teknologi, peningkatan profesionalisme tenaga kerja akademik dan bukan akademik serta menjadi pemangkin kepada pelaburan langsung asing (FDI).
YBhg. Datuk Dr. Anesee turut menyeru lebih banyak kerjasama antarabangsa dalam memperluas inisiatif TNE yang terbukti berupaya meningkatkan taraf pendidikan tinggi dan merangsang pembangunan sosioekonomi negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 188