EWF 2025: KPT Teroka Kerjasama Global Sokong Pelaksanaan PPTM 2025–2035

EWF 2025: KPT Teroka Kerjasama Global Sokong Pelaksanaan PPTM 2025–2035

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah meneruskan hari ketiga lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK) dengan menghadiri siri pertemuan strategik sempena Forum Pendidikan Dunia 2025 (EWF 2025).

Lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Tetap, Jabatan Pendidikan UK, Susan Acland-Hood di Sanctuary Buildings, London.

Kedua-dua pihak merakamkan penghargaan atas jalinan kerjasama erat antara Malaysia dan UK dalam bidang pendidikan tinggi yang telah lama terjalin, serta menzahirkan komitmen untuk meneroka potensi kerjasama baharu.

Fokus turut diberikan kepada bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, penyelidikan dalam bidang khusus, program mobiliti pelajar dan staf, serta pembangunan kapasiti — sejajar dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 yang bakal dilancarkan.

Sehingga Disember 2024, seramai 13,005 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di UK, manakala 435 pelajar UK berada di Malaysia.

Seterusnya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menghadiri sesi meja bulat bersama British Expertise International (BEI), organisasi keahlian utama yang menghimpunkan syarikat UK berpengalaman dalam bidang infrastruktur, pembangunan antarabangsa dan pendidikan. BEI turut bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan UK bagi memacu penglibatan global institusi pendidikan British.

Perbincangan memfokus kepada potensi kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi, pembangunan kapasiti, serta dialog dasar — terutama melibatkan pembangunan PPTM 2025–2035 dan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 174
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim