Festival Idea Putrajaya, Jadi Acara Tahunan Negara Mulai 2025

"It always seems impossible until it is done".
Memetik kata-kata inspirasi daripada Nelson Mandela, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan kejayaan penganjuran Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 sebagai manifestasi keberanian dan inovasi serta membuktikan sesuatu yang kelihatan mustahil boleh dicapai dengan semangat kerjasama dan dedikasi semua pihak.
Penuh rasa bangga, beliau yang telah menyempurnakan majlis penutup FOI 2024 petang tadi memaklumkan bahawa sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah kehadiran luar biasa iaitu lebih daripada 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Festival ini telah menghimpunkan pemimpin, ahli akademik, pakar, pembuat dasar, industri, dan anak muda dari seluruh negara untuk berkongsi idea dan membincangkan penyelesaian kepada cabaran semasa.
Ia juga merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan sekerajaan (whole-of-government).
Beliau turut mengumumkan bahawa festival ini akan dijadikan acara tahunan bermula 2025 dengan pengawasan jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, penganjuran festival ini bakal menjadi mercu tanda penting bagi negara, sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai 'City of Ideas'.
Dalam pada itu, YB Menteri turut menegaskan bahawa program ini bukan sekadar soal pulangan kewangan, tetapi lebih kepada impak sosial yang mampu mencorakkan pembangunan generasi muda.
Menurutnya "festival ini akan menjadi platform untuk mencetuskan idea-idea besar, tanpa mengira siapa pun anda – nelayan, pesawah, atau profesor".
Festival Idea Putrajaya 2024 juga berjaya mengangkat wacana-wacana penting, termasuk "The Malaysian Success Stories" dan kearifan lokal, sekali gus memperkukuhkan asas masyarakat MADANI yang berteraskan ilmu dan inovasi.
Kejayaan FOI 2024 akan menjadi asas kukuh untuk pelaksanaannya pada tahun-tahun mendatang, dengan harapan untuk terus memperluaskan pengaruhnya sebagai platform inovasi dan intelektual di peringkat antarabangsa.
Tahniah dan penghargaan setinggi-tingginya diucapkan kepada semua pihak yang telah berganding bahu, mencurahkan tenaga, masa dan buah fikiran bagi menjayakan festival ini yang telah mencipta sejarah baharu sektor pendidikan tinggi dalam usaha memartabatkan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi serantau serta global.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 460