FIM Siri 2 KPT Dan Petronas: Fokus Bincang Peralihan Tenaga Untuk Pertumbuhan Sosioekenomi Mampan Dan Inklusif

"Sektor Tenaga sebagai Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi yang Mampan dan Inklusif" menjadi tema utama Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) siri kedua, yang telah berlangsung semalam di Putrajaya.
Forum ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama peneraju industri minyak dan gas (O&G) negara, PETRONAS dan telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Antara tokoh-tokoh terkemuka yang mengambil bahagian sebagai ahli panel forum kali ini termasuklah Menteri Ekonomi, YB Tuan Rafizi Ramli; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz dan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan betapa pentingnya sektor tenaga dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi yang mampan serta inklusif sambil menekankan perlunya pendekatan holistik yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam menggerakkan peralihan tenaga termasuklah sektor O&G di Malaysia.
Forum ini turut menyaksikan perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu kritikal, termasuk keperluan tenaga yang lebih lestari, cabaran teknologi grid pintar, serta penerapan teknologi hijau.
Panel juga menyentuh tentang peranan Malaysia di peringkat serantau dalam memupuk kerjasama tenaga ASEAN, seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam bidang tenaga di rantau ini.
Terdahulu, FIM Siri ke-2 ini merupakan kesinambungan daripada usaha YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menghimpunkan golongan intelektual dan pemimpin industri untuk berbincang mengenai isu-isu kritikal negara.
Forum ini turut memberikan input berharga kepada Kerajaan dalam memperkukuh dasar-dasar ekonomi, sosial dan alam sekitar, selaras dengan visi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.
Ia juga menjadi bukti komitmen Malaysia dalam memacu peralihan tenaga yang mampan serta menyokong agenda pembangunan sosioekonomi inklusif untuk generasi akan datang.
Kehadiran ramai jemaah menteri kabinet dan pengurusan tertinggi KPT malam tadi telah turut membuktikan komitmen terhadap agenda peralihan tenaga negara yang mampan dan inklusif.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 796