FIM Siri 4: Diskusi Peranan Fintech PACU Kemakmuran Dan Keterangkuman

FIM Siri 4: Diskusi Peranan Fintech PACU Kemakmuran Dan Keterangkuman

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 4 anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Maybank telah berlangsung dengan jayanya malam tadi.
Forum yang bertemakan “Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman” ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Forum ini menekankan pemerkasaan ilmu dan wacana terbuka sebagai asas kepada pembangunan negara dengan topik serta isu digitalisasi dan peranan teknologi kewangan (Fintech) menjadi tumpuan utama perbincangan kali ini.

Sebelum itu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dialog intelektual antara sektor Kerajaan, korporat dan akademik seperti FIM mampu menghasilkan idea-idea baharu untuk menghadapi cabaran global, termasuk dalam bidang ekonomi dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli melalui pembentangannya menjelaskan bagaimana Fintech dan kecerdasan buatan (AI) telah diterapkan untuk memenuhi keperluan pelanggan secara lebih inklusif dan cekap.

Pendekatan ini bukan sahaja memodenkan sektor kewangan tetapi juga memperkasakan ekonomi rakyat.

Forum ini turut mengupas peranan Malaysia dalam memperkukuh ekonomi ASEAN melalui teknologi kewangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangannya menegaskan bahawa integrasi ekonomi digital adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

Usaha ini seiring dengan visi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam sektor digital di rantau ini.

Perhatian turut diberikan kepada cabaran yang dihadapi oleh SME dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng turut berkongsi pembentangan tentang bagaimana platform kewangan digital memainkan peranan penting dalam menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (SME) dengan memberikan akses kepada pembiayaan secara inovatif.

Penyelesaian seperti pembiayaan digital dan kolaborasi antara bank dan platform teknologi diperkenalkan sebagai langkah untuk mengatasi kekangan ini.

Keupayaan SME untuk bersaing di peringkat domestik dan serantau ditekankan sebagai faktor penting dalam memacu ekonomi negara.

Isu ‘scam’ kewangan turut dibincangkan sebagai cabaran besar yang dihadapi oleh sektor kewangan dan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank menekankan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen pendidikan dan memperkenalkan ciri keselamatan baharu dalam aplikasi perbankan mereka.

Beliau juga menyeru kerjasama daripada syarikat telekomunikasi dan pihak berkuasa untuk menangani masalah ‘scammer’ secara menyeluruh.

YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan sedang meneliti cadangan pengawalan media sosial dan memperketatkan undang-undang bagi mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

Dalam usaha membangunkan ekonomi sosial, institusi zakat dan wakaf dikenal pasti sebagai instrumen penting.

Para panelis menekankan keperluan untuk menyelaraskan pengurusan zakat dan wakaf agar lebih berkesan di peringkat nasional, sekaligus memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat terutama golongan B40.

Pada hujung wacana, YAB Perdana Menteri menyeru agar semua pihak terus berganding bahu dalam mencetuskan perubahan berani demi memastikan Malaysia kekal kompetitif di persada antarabangsa. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 188
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 12 Februari 2025, 10:29:14.

logo-sirim