Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China UUM, Kupas Pencapaian Kerjasama Strategik Kedua-Dua Negara

Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China UUM, Kupas Pencapaian Kerjasama Strategik Kedua-Dua Negara

Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di ibu negara siang tadi telah mengupas secara akademik hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara, merangkumi sejarah kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pendidikan, serta budaya.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang dalam ucaptamanya menegaskan kepentingan hubungan Malaysia dan China yang telah lama terjalin.

Beliau turut membangkitkan isu-isu geopolitik marcapada, serta bagaimana kedua-dua negara boleh terus memanfaatkan kerjasama ini untuk masa depan yang lebih cemerlang.

"Hubungan Malaysia-China adalah hubungan yang sangat bersejarah, bermula sejak 1974 ketika dunia sedang berhadapan dengan perang dingin. Kita perlu menghargai persahabatan ini, bukan hanya dari sudut politik tetapi juga dari perspektif ekonomi dan budaya," ujar YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry dalam ucapannya.

Malah, beliau turut menjelaskan betapa pentingnya Malaysia mengekalkan dasar neutral dan berkecuali dalam menangani isu-isu geopolitik global.

"Dunia hari ini bukan lagi berdepan dengan pertembungan ideologi seperti dahulu, tetapi kita kini melihat pertembungan dari segi geopolitik dan geo-ekonomi. Dalam hal ini, Malaysia perlu kekal neutral, tanpa mengorbankan kedaulatan dan kepentingan nasional," tambahnya.

Forum tersebut dibarisi oleh ahli panel pakar dan berpengalaman iaitu Penasihat Kehormat Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, Beijing Foreign Studies, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Ketua Pegawai Eksekutif, Taman Teknologi Malaysia (MRANTI), Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin; serta Pengarah Institut Kajian China, Universiti Malaya, Dr. Ling Tek Soon.

"Hubungan kita dengan China mesti terus berlandaskan kepentingan bersama dan persahabatan yang ikhlas. Kita tidak boleh membina hubungan berdasarkan konfrontasi, tetapi melalui dialog yang matang dan ikhlas," kata YB Menteri lagi.

Forum ini bukan sekadar platform untuk mengimbau sejarah hubungan antara Malaysia dan China, tetapi juga satu titik tolak penting dalam membina masa depan kerjasama yang lebih kukuh dan saling menguntungkan.

Melalui pelbagai inisiatif yang dibincangkan dalam forum ini, diharapkan hubungan Kuala Lumpur-Beijing akan terus berkembang dan menyumbang kepada pembangunan serantau yang lebih seimbang dan harmoni.

"Kita perlu melihat dunia dengan lebih luas dan objektif," ujar YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry, menyimpulkan visi beliau terhadap masa depan hubungan Malaysia-China.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Dato' Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1521
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 10:01:10.

logo-sirim