Forum Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Presiden Agensi Kelayakan Global, Buka Laluan Kerjasama Antarabangsa

Forum Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Presiden Agensi Kelayakan Global, Buka Laluan Kerjasama Antarabangsa

Bagi menggiatkan usaha memacu transformasi pendidikan tinggi di Malaysia, sebuah forum yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berlangsung bersempena Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2024 (MQA International Conference 2024) di sini malam semalam.

Forum yang dianjurkan oleh MQA semalam telah berjaya mengumpulkan wakil-wakil dari enam negara serta sembilan agensi kelayakan antarabangsa, berfungsi sebagai platform bagi para pemimpin dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pandangan dan idea tentang masa depan pendidikan tinggi.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

“Kita tidak lagi boleh berdiri sendiri. Dunia pendidikan hari ini memerlukan kolaborasi yang lebih luas bagi memastikan sistem pendidikan kita terus relevan dan kompetitif di peringkat global,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa forum ini adalah sebahagian daripada usaha mendapatkan input untuk Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035, yang kini sedang dalam fasa perancangan.

Antara isu yang menjadi tumpuan perbincangan adalah kepentingan pendidikan fleksibel melalui micro-credential dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, dengan para wakil dari pelbagai negara berkongsi pengalaman mereka dalam mengadaptasi pendekatan pembelajaran yang lebih inklusif dan berorientasikan industri.

Selain itu, forum tersebut juga membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang penyelidikan dan teknologi, khususnya dalam penggunaan Artificial Intelligence (AI) dan inovasi digital.

Juga cadangan untuk memperluaskan program mobiliti pelajar, serta usaha membawa program-program Malaysia ke luar negara, antaranya ke China dan Timur Tengah.

Forum ini diakhiri dengan sesi perbincangan terbuka yang membuahkan banyak idea dan strategi baru yang dijangka akan diperhalusi dalam pelan tindakan yang akan diumumkan kelak. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 659
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 10 Februari 2025, 08:49:13.

logo-sirim