Gabungan Strategik IPT–Industri–Penyelidikan PACU Teknologi Tempatan Berimpak Tinggi

Gabungan pintar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), pihak industri dan sektor penyelidikan terus menjadi pemacu utama dalam membina ekosistem inovasi negara yang mampan dan bersifat jangka panjang.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi pemeteraian Perjanjian Perkongsian Strategik antara UNITEN, UNITEN R&D Sdn. Bhd. dan Geomapping Technology Sdn. Bhd. yang berlangsung di Royal Park @UNITEN, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi semalam.
Menurut beliau, kolaborasi merentas sektor seperti ini amat diperlukan dalam melahirkan penyelesaian teknologi yang relevan dan berskala pasaran, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang pemetaan geospatial, teknologi dron dan pemantauan infrastruktur.
“Gabungan seperti ini memberi ruang kepada hasil penyelidikan berasaskan teknologi tempatan untuk dikomersialkan dengan lebih sistematik dan lestari. Ia bukan sahaja meningkatkan pulangan akademik kepada masyarakat tetapi juga mengukuhkan nilai ekonomi negara,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, kerjasama ini selaras dengan peranan baharu IPT yang digariskan dalam Pelan Pendidikan Tinggi Negara 2025–2035 (PPTM 2025–2035), bukan sekadar penyampai ilmu tetapi turut bertindak sebagai peneraju inovasi, pemindah teknologi dan pembangun bakat masa depan negara.
Turut dimaklumkan, ruang lingkup kerjasama tersebut merangkumi penubuhan Makmal Geoteknologi untuk menyokong pelaksanaan KPI di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE). Inisiatif ini melibatkan aktiviti pensampelan tanah, batuan dan bahan geoteknik serta pembangunan teknologi berasaskan AI dan data geospatial, khususnya untuk sektor tenaga dan utiliti.
Dalam konteks Malaysia MADANI, YB Datuk Ts. Mustapha menegaskan bahawa inisiatif seperti ini perlu digerakkan secara kolektif menerusi tadbir urus yang cekap dan keselarasan dasar antara agensi kerajaan serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak.
Beliau turut mengiktiraf nilai tambah yang dibawa oleh Geomapping Technology Sdn. Bhd. dari segi kepakaran teknikal dan akses pasaran, sekali gus menepati aspirasi kerajaan dalam memperkukuh model kerjasama tiga serangkai ('triple helix') antara IPT, industri dan kerajaan.
Majlis menandatangani perjanjian dimuktamadkan oleh Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengerusi Eksekutif Geomapping Technology Sdn. Bhd., Dato’ P.Geol. Zakaria Mohamad; Pengerusi UNITEN R&D Sdn. Bhd., Dr. Mohamed Awang Lah; Ketua Pegawai Eksekutif Geomapping Technology Sdn. Bhd., P.Geol. Abd Rasid Jaapar; dan pegawai yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga Tenaga Nasional Berhad yang mewakili Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam.
Kredit Foto: Universiti Tenaga Nasional - UNITEN
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 183