GLOBALASEAN.ORG: KPT Terajui Platform Digital Perkasakan Modal Insan Serantau

Dengan aspirasi menjadikan ASEAN sebagai hab bakat dan ilmu menjelang 2045, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil menerajui pelancaran GlobalASEAN.org, sebuah platform digital serantau yang membekalkan latihan, program peningkatan kemahiran dan dokumen dasar untuk menyokong pembangunan modal insan secara kolektif.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena Forum Pembangunan Bakat dan Teknologi Masa Hadapan Menjelang 2045, iaitu acara rasmi sampingan ('official side event') kepada Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 yang berlangsung di Langkawi.
Dalam ucapannya, YB Menteri menekankan bahawa masa depan ASEAN tidak boleh bergantung semata-mata pada pelaburan dan infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu dibina atas kekuatan bakat, daya cipta dan sistem pendidikan yang responsif terhadap cabaran semasa seperti krisis iklim, ketidaktentuan geopolitik dan gelombang teknologi baharu.
Beliau menegaskan bahawa GlobalASEAN.org bukan sekadar laman sesawang tetapi satu gerbang pembelajaran serantau yang menyediakan pelbagai sumber seperti latihan dalam talian, program 'micro-credential', bahan peningkatan kemahiran dan akses kepada dasar awam yang boleh dimanfaatkan oleh belia, pendidik, penggubal dasar serta institusi.
Platform ini juga menjadi wadah kolaboratif merentas sempadan, melibatkan kerjasama antara Kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), industri dan komuniti ASEAN dalam merangka penyelesaian bersama terhadap cabaran masa hadapan, selari dengan aspirasi Kerangka ASEAN 2045.
Malaysia sebagai tuan rumah pelaksanaan platform ini, mengendalikannya melalui KPT dengan sokongan pelbagai rakan strategik dalam ekosistem pendidikan tinggi, termasuk rangkaian TVET, program mobiliti pelajar rentas negara serta dasar yang menjurus kepada kelestarian pembangunan bakat muda.
Forum ini dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (IKMAS UKM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) yang berpangkalan di Jepun.
Wacana ini menghimpunkan tokoh dasar, pemimpin industri dan ahli akademik dari seluruh rantau untuk membincangkan strategi memperkasa bakat ASEAN dalam bidang teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan, semikonduktor dan kelestarian. Ia turut merangkumi sesi perbincangan mengenai penyelarasan piawaian kemahiran serantau dan persiapan tenaga kerja bagi menghadapi perubahan struktur ekonomi menjelang 2045.
YB Menteri menyifatkan pelancaran GlobalASEAN.org sebagai titik permulaan penting bagi rantau ini untuk membina identiti ASEAN bukan sahaja sebagai hab perdagangan, tetapi juga sebagai hab bakat, ilmu dan kemanusiaan yang progresif dan inklusif.
“Setiap perubahan besar dalam sejarah bermula dari pemikiran. Maka, platform ini adalah ruang kita menyemai cita-cita, membina ilmu dan memperkasa bakat generasi masa depan ASEAN,” ucap beliau.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 227