Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 (AI Day 2025) PACU Transformasi Digital

Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 (AI Day 2025) PACU Transformasi Digital

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kerjasama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Majlis Pengarah-Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (MAPITA) telah menganjurkan Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 (AI Day 2025) bagi memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, beliau dalam ucapannya telah menegaskan komitmen Kerajaan untuk melahirkan 200,000 pakar kecerdasan buatan menjelang 2030 melalui MY AI NEXUS.

Beliau turut menekankan kepentingan AI dalam meningkatkan kecekapan operasi universiti serta memperkasa pembelajaran digital.

Katanya, Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2025 yang lalu telah turut memperuntukkan RM50 juta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memperkasa pembangunan kecerdasan buatan dalam pendidikan tinggi.

Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan untuk penyelidikan, pembangunan infrastruktur AI, serta meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

Universiti penyelidikan turut diberikan fokus bidang khusus seperti AI dalam perubatan (Universiti Malaya), keselamatan siber dan kriptologi (Universiti Putra Malaysia), semikonduktor (Universiti Sains Malaysia), dan penterjemahan Bahasa Melayu (Universiti Kebangsaan Malaysia).

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, buku ‘Ketahanan Digital – Mengemudi Transformasi Dalam Persekitaran Dinamik’ turut dilancarkan, menghimpunkan kajian pakar teknologi maklumat dari lapan universiti hasil usaha Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan diterbitkan oleh USIM.

Malah, USIM turut memperkenalkan inisiatif Kecerdasan Buatan Syariah yang berpotensi membantu penyelesaian isu faraidh, ibadah haji dan pensijilan halal.

“Kerjasama antara akademia, industri, dan Kerajaan amat penting bagi memastikan kecerdasan buatan digunakan secara beretika dan memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah,” kata YB Datuk Ts. Mustapha.

Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 menjadi bukti AI bukan sekadar teknologi masa depan tetapi keperluan dalam membentuk lanskap pendidikan tinggi negara.

Turut hadir Naib Canselor USIM, Dato’ Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani; Timbalan Pengerusi MAPITA, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar; Timbalan Pengarah (Pusat Pembangunan Kepimpinan) AKEPT, Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman; serta Pengarah Urusan Serantau Amazon Web Services bagi Sektor Awam ASEAN, Eric Conrad. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 178
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim