Hari Kesedaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) 2024: Usaha Meningkatkan Kesedaran Di Kalangan Institusi Pendidikan Teknikal

Hari Kesedaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) 2024: Usaha Meningkatkan Kesedaran Di Kalangan Institusi Pendidikan Teknikal

Program Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 bagi zon Kelantan, Terengganu, dan Pahang anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu pagi tadi telah berlangsung dengan jayanya.

Program tersebut telah memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pelajar serta kakitangan institusi pendidikan teknikal dan vokasional, di samping menjadi inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran serta kefahaman berkenaan budaya kerja yang selamat dan sihat.

Program ini turut mengambil kira 'Revolusi Landskap KPP', yang memperkenalkan pindaan kepada 'Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022' dan pemansuhan 'Akta Kilang dan Jentera 2022', yang membawa impak besar terhadap cara keselamatan dan kesihatan pekerjaan diuruskan di seluruh sektor industri, termasuklah dalam pendidikan teknikal.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang dalam ucapannya menekankan kepentingan keselamatan di tempat kerja masing-masing.

Menurutnya, “dalam dunia yang semakin maju, tanggungjawab kita untuk menjaga keselamatan di tempat kerja menjadi semakin mendesak. Pindaan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 serta pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 2022 menandakan satu perubahan besar dalam landskap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) di Malaysia. Langkah ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan terhadap perlindungan pekerja, tetapi juga menandakan evolusi pendekatan dalam pengurusan risiko dan keselamatan di tempat kerja.”

Beliau juga berharap bahawa topik yang diketengahkan dalam program ini akan membawa perubahan yang positif dalam meningkatkan keselamatan tempat kerja, khususnya di institusi pendidikan teknikal dan vokasional.

"Dengan pelaksanaan yang konsisten dan kerjasama daripada semua pihak khususnya di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Politeknik serta Kolej Komuniti (POLYCC), kita akan dapat mencapai matlamat keselamatan yang lebih tinggi demi kesejahteraan warga dan produktiviti negara," tambah beliau.

Program ini diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran warga politeknik dan kolej komuniti serta pihak berkepentingan.

Melalui pelbagai aktiviti seperti ceramah, pameran, dan bengkel, program ini bertujuan memastikan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai keselamatan di tempat kerja dapat disebarluaskan.

Majlis ini juga turut disertai oleh beberapa agensi dan organisasi dari pelbagai sektor, yang memperlihatkan komitmen jitu dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1420
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 06 Februari 2025, 10:09:29.

logo-sirim