Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Akses Baharu Rakyat Terengganu Dapatkan Kepakaran Kesihatan UniSZA

Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Akses Baharu Rakyat Terengganu Dapatkan Kepakaran Kesihatan UniSZA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan perasmian Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersempena ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di sini pagi tadi.

Turut berangkat KDYMM Sultanah Terengganu yang juga Canselor UniSZA, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keberangkatan baginda KDYMM Sultan Terengganu telah disambut oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh; dan Naib Canselor UniSZA, YBhg. Dato' Prof. Dr. Fadzli Adam.

HoSZA yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Pengajar UniSZA telah mula menawarkan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada rakyat Terengganu semenjak beroperasi pada tahun 2022.

Fokus kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia dan pendidikan berteraskan kes, HoSZA berhasrat untuk menjadi sebagai salah satu pusat kajian dan penyelidikan utama di negeri Pantai Timur Malaysia.

Malah, HoSZA membolehkan pelajar perubatan dan profesional penjagaan kesihatan lain untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam suasana klinikal sebenar yang menggabungkan pengetahuan teori dengan realiti amalan perubatan bertaraf dunia kelas pertama.

Pada majlis yang sama, KDYMM Sultan Terengganu berkenan menyaksikan sumbangan berjumlah RM512,000 daripada pelbagai sektor awam dan swasta kepada Tabung Kebajikan HoSZA yang bakal dimanfaatkan bagi kegunaan para pesakit serta pengurusan hospital.

Selain itu, KDYMM Sultan Terengganu turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding - MoU) antara HoSZA dengan Institut Jantung Negara (IJN) serta Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO).

Seterusnya, keluarga diraja berkenan berangkat melawat ke sekitar bangunan hospital bagi meninjau fasiliti serta kemudahan rawatan kesihatan yang ditawarkan kepada masyarakat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1802
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim