Iftar Mahabbah UNITEN: Ramadan Eratkan Ukhuwah Dan Keprihatinan Umat Islam

Kehadiran bulan Ramadan bukan sekadar peluang untuk beribadah, tetapi juga ruang untuk memperkukuh nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, menekankan perkara ini ketika menghadiri Program Iftar Mahabbah di Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) malam tadi.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Ramadan sebagai madrasah rohani yang membentuk keperibadian Muslim sejati, sekali gus mengajar erti kesabaran, ketakwaan, dan kepedulian terhadap mereka yang memerlukan.
Beliau turut memuji Program Huffaz Profesional UNITEN, yang menggabungkan hafazan al-Quran dengan pengajian profesional.
Program ini katanya adalah pendekatan holistik dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berpegang teguh kepada nilai Islam.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, YB Datuk Ts. Mustapha turut menyertai sesi penyediaan juadah bersama pelajar.
Sambil menunggu masuk waktu Maghrib, beliau bersama-sama 500 orang warga UNITEN yang hadir telah diperdengarkan alunan bacaan al-Quran oleh pelajar Program Huffaz Profesional UNITEN, Mohd Idham Zakaria.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Bantuan Kasih Ramadan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM250 kepada 20 orang pelajar yang memerlukan.
Selain itu, beliau turut menyaksikan penyerahan Dana Wakaf Ilmu UNITEN berjumlah RM11,400, yang disampaikan oleh Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari, kepada 28 orang pelajar terpilih sebagai bantuan awal pengajian.
Usai solat berjemaah, YB Timbalan Menteri bersama pengurusan tertinggi UNITEN telah bermoreh bersama para wakil pelajar sambil bertukar pandangan mengenai perihal akademik serta kehidupan mereka di kampus.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 119