Insiatif Celik MADANI Sedia RM50 Juta Dana Tingkat Literasi Kewangan Pelajar IPT

Insiatif Celik MADANI Sedia RM50 Juta Dana Tingkat Literasi Kewangan Pelajar IPT

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) Program Celik MADANI yang berlangsung di Menara Merdeka 118 pagi tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Program hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan PNB itu bertujuan meningkatkan literasi kewangan serta membudayakan tabiat menabung dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Inisiatif Celik MADANI dijangka memberi manfaat kepada sejuta pelajar menerusi pelaburan awal percuma sebanyak RM50 serta pendedahan penting kepada ilmu kewangan asas.

Dibiayai melalui sumbangan bersama antara PNB dan Kerajaan Malaysia, dengan jumlah keseluruhan RM50 juta bagi tempoh lima (5) tahun, Celik MADANI menyokong objektif Ekonomi MADANI dengan memperkukuh literasi kewangan generasi muda dan mempersiapkan mereka untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan usaha Kerajaan dalam memperkasakan pelajar dengan ilmu pengurusan kewangan yang mampan.

"Kerajaan berharap lebih ramai pelajar akan memanfaatkan peluang ini untuk menabung dan membina kestabilan kewangan sejak di bangku universiti," ujarnya.

Fasa pertama program ini melibatkan pelajar semester pertama dari 20 universiti awam dan empat (4) Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) terpilih, yang akan menerima pelaburan awal dalam Akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM).

Program ini turut merangkumi sesi literasi kewangan bagi membantu pelajar memahami kepentingan perancangan kewangan jangka panjang.

Celik MADANI adalah sebahagian daripada usaha PNB dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan pelaburan, melengkapi inisiatif sedia ada seperti Kelab Pelaburan Bijak PNB.

Melalui program ini, Kerajaan optimis bahawa generasi muda akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan.

YB Timbalan Menteri bersama para tetamu kemudiannya turut dibawa melawat ke aras 92 Menara Merdeka 118 untuk merasakan sendiri pengalaman unik di bangunan kedua tertinggi di dunia tersebut. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 155
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim