IPT Digalak Kembangkan Kegiatan Sastera, Libatkan Lebih Ramai Profesional
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menyeru agar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara dapat mengembangkan aktiviti atau kegiatan berkaitan sastera termasuk penulisan dan penyampaian puisi.
Jelas KSU, puisi dapat menjadi wahana pemikiran dan cetusan kebersamaan dalam mendukung semangat kemanusiaan serta menjadi medium interaksi meluahkan pandangan dan pendapat.
“Peranan puisi ini cukup luas, bukan hanya menjadi saluran untuk meluahkan perasaan dan pendapat malah turut membentuk nilai-nilai murni.
Jika di Barat, mereka yang berada di bidang puisi akan sangat dihormati, mereka menggunakan bahasa yang santun dan tepat dalam meluahkan perasaan dan pendapat serta idea kepada masyarakat,” jelas KSU di Program Baca Puisi PEMUISI di DBP Ke-16 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur malam tadi.
Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan disokong DBP ini jelas KSU amat baik sekali kerana berjaya menghimpunkan individu yang meminati puisi serta menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai golongan profesional turut sama.
Dalam majlis sama, KSU KPT turut menerima penganugerahahan Tokoh Pejuang PEMUISI Malaysia atas sumbangan, penulisan dan komitmen menyuburkan puisi dalam kalangan masyarakat.
Beliau yang cukup terkenal dalam dunia akademik, pegawai tadbir dan penerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara ini menggunakan saluran puisi untuk menyampaikan mesej dan kritikan sosial untuk membawa perubahan, kefahaman kepada sesuatu isu termasuk pelestarian alam sekitar.
Beliau juga turut berkesempatan untuk menyampaikan sebuah puisi hasil nukilannya sendiri bertajuk ‘Melayu Malu’ dalam kompilasi kumpulan puisi Dari Penjuru Sofa.
Turut bersama dalam program ini adalah Penasihat Kehormat PEMUISI, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; Sasterawan Negara, Dato' Zurinah Hassan; Presiden PEMUISI, Dato’ Dr Radzuan Ibrahim.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian Zapin oleh Kumpulan GEMALAI SENI SERI PURNAMA dan penyampaian puisi oleh beberapa individu ternama.
Kredit foto : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 280