Jom Masuk U (Zon Timur 1): Mulakan Tirai Siri Jelajah Pendidikan Ke Seluruh Negara

Program jerayawara pendidikan tinggi negara Jom Masuk U 2025 memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh negara bermula pada 22 Februari hingga 18 Mei 2025.
Program ini merupakan acara tahunan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian untuk memberi pendedahan serta peluang kepada pelajar berkenaan bagi menyampaikan maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam pendidikan tinggi yang disediakan di Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang,Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan mencemar duli merasmikan “Karnival Program Jom Masuk U 2025 (JMU) Zon Timur 1” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.
Pada tahun ini, konsep dan tema bagi Karnival Jom Masuk U 2025 adalah ‘Eduxplore’. Konsep ini menekankan tiga elemen penting dalam kreativiti iaitu berfikir, mencipta dan memberi inspirasi. Lagu tema Jom Masuk U 2025 dan maskot turut dilancarkan pada hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah ( Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Zainal Amin Ayub yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapannya berkata program ini penting bagi pelajar dalam membuat keputusan yang tepat mengenai masa depan akademik mereka.
Karnival yang berlangsung selama dua hari ini membuktikan komitmen pihak Kementerian dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat terus diperkasa. Malah, pelbagai prakarsa termasuk biasiswa, bantuan kewangan, serta penambahbaikan dasar kemasukan ke universiti sebagai tatanan buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lepasan SPM dan lepasan STPM setaraf di luar sana.
Turut hadir pada majlis ini Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 233