Karnival TVET POLYCC 2025 Cetus Transformasi Tenaga Kerja Berkemahiran

Karnival TVET POLYCC 2025 Cetus Transformasi Tenaga Kerja Berkemahiran

Buat julung-julung kalinya, Karnival TVET POLYCC 2025 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang telah berjaya menghimpunkan inovasi, teknologi serta jaringan industri bagi memperkukuh peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran teknologi terkini serta kerjasama strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa, menjadikan TVET sebagai faktor "game-changer" dalam transformasi tenaga kerja negara.

Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha menegaskan bahawa TVET bukan sekadar laluan alternatif pendidikan tetapi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau menekankan keperluan akses yang lebih luas kepada pendidikan TVET melalui pembelajaran fleksibel, "micro-credentials" serta skim perantisan yang mampu menjamin kebolehpasaran graduan.

Menyedari kepentingan hubungan erat antara institusi pendidikan dan pemain industri, ada majlis tadi juga turut menyaksikan sembilan (9) perjanjian kolaborasi strategik dimeterai antara POLYCC dan syarikat dari dalam serta luar negara termasuk dari Arab Saudi, Türkiye, Afrika Selatan, Somalia dan Thailand yang diharapkan dapat memperkasakan pembangunan tenaga mahir serta inovasi dalam sektor TVET.

Beliau menambah, selain menyiapkan pelajar dengan kemahiran teknikal, elemen keusahawanan turut menjadi tunjang penting dalam transformasi TVET.

Karnival tiga (3) hari bermula semalam ini turut menampilkan ikon keusahawanan POLYCC yang bertujuan menginspirasi generasi baru pelajar TVET agar bukan sahaja menjadi pencari kerja (job seeker), tetapi sebagai pencipta peluang kerja (job creator).

Malah, karnival ini turut mengambil pendekatan unik dan segar dalam menarik perhatian belia dengan menggabungkan unsur sukan, teknologi, dan hiburan sebagai pengisian aktiviti.

Seperti acara POLYCC Ride yang merangkumi kayuhan berbasikal sejauh 76 kilometer mengelilingi Langkawi, pertandingan eSports (PUBG & Mobile Legends), serta Drone Soccer menunjukkan bagaimana teknologi moden dapat menarik minat generasi muda kepada bidang TVET.

YB Timbalan Menteri turut menekankan cabaran dalam meningkatkan enrolmen TVET, khususnya dalam kalangan lepasan SPM.

"TVET adalah penyelesaian terbaik bagi mereka yang ingin membina masa depan dalam bidang teknikal dan berkemahiran tinggi. Ibu bapa juga perlu lebih terbuka terhadap potensi besar TVET dalam memberikan masa depan yang cerah kepada anak-anak mereka," tegasnya.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan kerjasama strategik yang telah dimeterai, Karnival TVET POLYCC 2025 membuktikan bahawa TVET adalah masa depan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia dan peringkat global. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 217
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim