KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Sampaikan Titah Diraja Dalam Persidangan Diraja Mengenai Islam Dan Kemanusiaan Anjuran UTM

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Sampaikan Titah Diraja Dalam Persidangan Diraja Mengenai Islam Dan Kemanusiaan Anjuran UTM

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan merasmikan Persidangan Diraja mengenai Islam dan Kemanusiaan (Royal Conference on Islam and Humanity) yang dianjurkan oleh Raja Zarith Sofia Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilization (RZA-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pagi tadi.

Hadir mengiringi KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong yang juga merupakan Canselor UTM, termasuklah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi Lembaga UTM, Tan Sri Azman Hj. Mokhtar; Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Dalam persidangan yang bertemakan 'Keadilan dalam Islam: Konsep, Sejarah dan Cabaran Semasa' tersebut, KDYMM Raja Permaisuri Agong telah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja yang membincangkan berkenaan konsep keadilan sebagai elemen asas dalam tamadun Islam dan kepentingannya dalam menangani cabaran semasa.

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, selaku penyandang Kursi Syed Muhammad Naquib al-Attas Chair of Islamic Thought, dalam ucapan alu-aluannya turut menekankan pentingnya memahami keadilan dalam pemikiran Islam kontemporari.

Selain itu, ucaptama oleh Prof. Dr. Alparslan Acikgenc dari Universiti Ibn Haldun, Turkiye, turut membincangkan keadilan dalam wacana teologi Islam.

KDYMM Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku 'Sejarah Islam di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan' karya Profesor Diraja Terpuji, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris.

Baginda turut menyaksikan penyerahan cek cura oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd. bernilai RM2 juta kepada RZS-CASIS Endowment Fund UTM, yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Bhd, Nehchal Khanna, kepada Naib Canselor UTM.

Persidangan dua (2) hari ini turut akan membincangkan konsep keadilan dalam Islam ketimbang tamadun lain, sambil menyediakan garis panduan pelaksanaan keadilan yang menyinggung pelbagai aspek kehidupan.

Keberangkatan DYMM Raja Permaisuri Agong membuktikan penglibatan institusi diraja yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh kefahaman tentang keadilan dan peranannya dalam membentuk dunia yang lebih harmoni. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 123
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 02:56:33.

logo-sirim