Kegemilangan Majlis Anugerah MAHEPA Kali Ke-25 Kekal Iktiraf Dan Hargai Pencapaian Pelajar Serta Alumni UMS
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Komited memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek pencapaian pelajar dan alumni yang sentiasa menjadi kebanggaan.
Justeru, menjadi tanggungjawab universiti untuk menyediakan platform bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi, serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan.
Demikian ulas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Hal Ehwal pelajar dan Alumni (MAHEPA) kali ke-25 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam tadi.
"Majlis ini amat penting sebagai usaha universiti untuk mengiktiraf dan menghargai setiap usaha titik peluh para pelajar dan alumni yang sentiasa memacu dan menyumbang kepada kecemerlangan universiti," katanya.
Penglibatan serta pencapaian pelajar yang telah mengangkat martabat dan mengharumkan nama UMS sentiasa diiktiraf malahan ia juga diharapkan menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus menabur bakti dalam memperkasa diri demi memastikan misi dan visi universiti dan KPT dapat dicapai.
"Sebagai tambahan, kita tidak mahu masyarakat melihat isu air sahaja. Kita mahu pelajar UMS lahir sebagai pemimpin dan pelapis. Pemimpin kena bermula dari sekarang, bukan tunggu masa hadapan (selepas graduasi)," gesa beliau.
Sebagai pemimpin juga, pelajar perlu membina generasi masa hadapan serta menarik minat orang lain untuk turut sama berjaya, bukan sekadar sebagai penerima anugerah malah perlunya turut turun padang.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. kassim Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Aliasgar Basri; serta presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Roslan Abdullah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1393