Kekuatan Visi Dan Kebersamaan Pacu Kejayaan Transformasi Pendidikan Tinggi

Kekuatan Visi Dan Kebersamaan Pacu Kejayaan Transformasi Pendidikan Tinggi

Keupayaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan serta komitmen tinggi warganya telah menjadikan Kementerian ini antara contoh terbaik dalam pentadbiran Kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika menyampaikan ucapan rumusan di akhir Program Semakan Pencapaian Separuh Penggal Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2025 berkata, pujian yang diterima daripada pimpinan tertinggi negara merupakan cerminan kepada usaha kolektif seluruh warga Kementerian.

Menurut beliau, pengiktirafan itu tidak pernah dituntut, namun muncul hasil daripada keterlihatan kerja yang konsisten dan tersusun di semua peringkat. Malah, ia menjadi pendorong kepada KPT untuk terus mengekalkan prestasi dan nilai integriti dalam perkhidmatan awam.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan pentingnya budaya kerja berpasukan yang berpaksikan visi bersama. Meskipun kepelbagaian pandangan diraikan, ia tetap perlu berpandukan halatuju yang selaras demi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi negara.

“Kita perlu faham bahawa satu pasukan tidak bermaksud hanya ada satu pandangan. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi visi kita mesti satu,” ujarnya.

YB Menteri juga menekankan bahawa kejayaan tidak boleh diukur semata-mata melalui pencapaian atau angka (outcome-based), sebaliknya proses pelaksanaan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pendekatan "process-based management" diamalkan KPT bagi memastikan setiap pelaksanaan dasar disemak secara berperingkat dan berterusan.

Langkah mengadakan program semakan pencapaian separuh penggal seperti ini, jelas beliau, membuktikan iltizam Kementerian dalam menjalankan penilaian kendiri dan menyusun semula strategi secara objektif serta telus.

Beliau turut menyentuh keperluan untuk mempercepat pelaksanaan transformasi sistem pendidikan Politeknik termasuk penggubalan sebuah Akta baharu bagi memperkasa sektor pendidikan teknikal negara. Transformasi tersebut akan dipimpin oleh Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sebagai usaha melahirkan Politeknik berdaya saing tinggi.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar seluruh warga KPT dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kekal bersatu hati dan mengelak daripada terjebak dalam budaya dalaman yang melemahkan organisasi. Sebaliknya, seluruh kekuatan perlu digembleng bagi menjayakan agenda pendidikan tinggi negara menjelang 2025.

Program tersebut turut disertai Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta barisan kepimpinan tertinggi Kementerian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 174
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim