Kembara Ramadan KPT 2025 Singgah Di USM: Erat Ukhuwah, Santuni Mahasiswa

Usai sesi dialog di USM, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir terus menuju ke Masjid Al Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meneruskan pula program Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025.
Setibanya di situ, YB Menteri yang disambut mesra kira-kira 2,000 warga universiti terus beramah mesra bersama para tetamu, termasuk pelajar tempatan dan antarabangsa yang sedang bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa.
Beliau turut memeriahkan sesi rewang dan berinteraksi dengan para pelajar, kakitangan serta masyarakat setempat yang sering mengimarahkan masjid tersebut sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut menyaksikan majlis penyampaian cek cura penyerahan zakat dan sumbangan beberapa pihak, termasuklah Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad.
Sumbangan ini bertujuan membantu pelajar yang memerlukan, selain menyokong pelbagai inisiatif kebajikan di universiti.
Beliau turut menyampaikan sumbangan Bantuan Kasih Ramadan oleh Yayasan Perkasa Siswa, sebanyak RM250 kepada 20 orang pelajar yang memerlukan.
Majlis diteruskan dengan sesi berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah bersama warga USM, mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang menjadi teras kepada Program Kembara Ramadan KPT 2025.
USM menjadi lokasi ke-4 program ini dan akan diteruskan ke beberapa lagi institusi pendidikan tinggi dalam usaha memperkukuh hubungan kementerian dengan komuniti akademik serta memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi keutamaan sembil menghidupkan amalan di bulan suci Ramadan.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin; dan Naib Canselor USM, Dato' Ir. Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 154