Kerajaan Perkasa Peranan Pendidikan Sebagai Tonggak Keadilan Sosial

Pendidikan bukan sekadar medan menimba ilmu, tetapi juga alat utama dalam memperkasa nilai keadilan sosial, menolak ekstremisme dan membina negara bangsa yang bersatu padu.
Komitmen ini dizahirkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam program 'Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dihadiri kira-kira 3,000 warganya tengah hari tadi.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan tegar tanpa mengira kaum serta memperbaiki fasiliti pendidikan, termasuk sekolah-sekolah daif menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau juga menekankan bahawa pendidikan perlu berpaksikan nilai seperti keadilan, kebebasan dan maruah manusia. YAB Perdana Menteri turut menyentuh peri pentingnya membezakan antara maklumat, ilmu dan kebijaksanaan.
Dalam era ledakan digital, mahasiswa diseru agar bukan sahaja menguasai teknologi, tetapi memiliki kebolehan menilai antara yang hak dan batil, serta menjadikan ilmu sebagai alat memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Malah beliau turut memperingatkan mahasiswa agar tidak terjebak dalam budaya kebencian serta menolak fahaman ekstremisme dan perkauman yang menggugat keharmonian.
Sebaliknya, universiti mesti menjadi medan menyemai faham Islam yang rahmatan lil alamin dan menjunjung tinggi nilai toleransi dan kemanusiaan sejagat.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dalam memperkukuh budaya ilmu dengan pembacaaan dan memahami karya-karya besar dari pelbagai tamadun.
Dalam Majlis yang sama, YAB Perdana Menteri dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Undang-Undang oleh Shenandoah University, Virginia, Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Presidennya, Dr. Tracy Fitzsimmons, sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 245