Kerjasama Kolej Komuniti Dan Industri; PACU Kemahiran Pelajar POLYCC

Kerjasama Kolej Komuniti Dan Industri; PACU Kemahiran Pelajar POLYCC

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menghadiri Majlis Menandatangani Surat Niat (Letter of Intent - LOI) dan Nota Kerjasama (Note of Collaboration - NOC) di Kolej Komuniti Rembau siang tadi.

Majlis ini menyaksikan kerjasama strategik antara Kolej Komuniti Rembau (KKR) dengan beberapa industri termasuk Jabatan Pengisian Islam Media Prima dan SMARSYS Solutions bertujuan untuk meningkatkan program kemahiran di institusi tersebut.

Kerjasama ini juga melibatkan lima (5) buah sekolah di daerah Rembau untuk memperluas akses kepada kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), selaras dengan agenda nasional dan antarabangsa seperti United Nations Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030).

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kerjasama dengan industri untuk mencapai Pelan Tindakan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023-2025. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lima (5) Kolej Komuniti (Rembau, Temerloh, Baling, Pagoh, dan Batu Gajah) dan satu Politeknik iaitu Politeknik Ibrahim Sultan yang terlibat dalam inisiatif ini.

Inisiatif ini melibatkan penghasilan busana fesyen oleh pelajar institusi-institusi tersebut, diketuai oleh KKR.

Dalam kesempatan tersebut, YB Timbalan Menteri telah turut melawat beberapa fasiliti di Kolej Komuniti Rembau, termasuk Makmal Komersil Kultur Tisu dan Makmal Fesyen yang memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran praktikal pelajar.

Beliau juga sempat meluangkan masa untuk meninjau pameran hasil kerja dan kreativiti para pelajar, yang mempamerkan produk inovasi serta rekaan yang dihasilkan sepanjang program latihan mereka.

Majlis ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama yang membawa manfaat untuk masyarakat setempat dan menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan sejahtera, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.

YB Datuk Ts. Mustapha turut berharap agar kerjasama yang terjalin dapat mencetuskan lebih banyak idea yang bermanfaat untuk semua pihak.

Turut sama Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti JPPKK, Dr. Riam A/P Chau Mai; Pengarah KKR, Merhayati Sipon; serta Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Dato' Haji Zaifulbahri Idris yang turut hadir bagi memberikan sokongan kepada inisiatif pendidikan dan pembangunan masyarakat setempat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1169
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 02:56:33.

logo-sirim