Ketua Setiausaha KPT Hadir Majlis Penerapan Nilai Murni, Erat Silaturrahim Warga JPPKK

Ketua Setiausaha KPT Hadir Majlis Penerapan Nilai Murni, Erat Silaturrahim Warga JPPKK

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim turun padang menyantuni warga Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Sempena Bulan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di sini semalam.

Kehadiran beliau menyerlahkan komitmen kepimpinan tertinggi KPT dalam memperkukuh hubungan silaturahim bersama warga kerja, khususnya dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Majlis yang menghimpunkan lebih 300 warga JPPKK ini turut menjadi platform untuk menyemarakkan nilai murni dan kebersamaan antara Pengurusan Tertinggi Kementerian dan warga Jabatan.

Sebagai simbol keprihatinan, seramai 36 orang kakitangan kumpulan sokongan termasuk petugas pembersihan diraikan dan menerima sumbangan Bantuan Aidilfitri sebagai persediaan menjelang Hari Raya.

Majlis turut diserikan dengan perkongsian tazkirah oleh Imam Muda Hassan bertajuk "Ramadan dan Nilai Keikhlasan: Mewujudkan Persekitaran Kerja yang Harmoni dan Profesional", yang memberi pengisian rohani kepada semua yang hadir.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Islam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, bersama barisan Pengurusan Tertinggi JPPKK dan Pengarah-pengarah Bahagian JPPKK; serta Pengarah-pengarah POLYCC. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 409
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 24 Jun 2025, 02:53:17.

logo-sirim