KPT Akan Bangunkan Repositori Kumpul Hasil Inovasi Dan Kreativiti Kumpulan KIKHB 2024

KPT Akan Bangunkan Repositori Kumpul Hasil Inovasi Dan Kreativiti Kumpulan KIKHB 2024

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membangunkan portal repositori bagi mengumpulkan kesemua hasil inovasi dan kreativiti yang telah berjaya dibangunkan oleh para peserta Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu 2024 (KIKHB 2024) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, "supaya ia tidak akan hilang begitu saja, melalui repositori ini nanti kita akan pantau perkembangan hasil inovasi ini, dan yang penting kita boleh gunakannya untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat yang banyak berlaku di luar sana".

Hadir merasmikan majlis penutup KIKHB 2024 di Politeknik Port Dickson (PPD) pagi tadi, beliau telah turut menyampaikan piala serta wang tunai RM2,000 kepada juara keseluruhan edisi kali ini, kumpulan MyTarget dari Politeknik Seberang Perai (PSP).

KIKHB 2024 merupakan satu platform untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi terbaik dalam bidang sosial dan perkhidmatan serta menjadi kunci utama dalam memantapkan sistem pendidikan negara bagi mempersiapkan generasi masa depan yang mampu bersaing di peringkat global.

Menurut beliau lagi, penganjurannya juga selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri pada Wacana Strategi KPT tahun lepas yang meminta agar diberikan ruang kepada kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan, agar mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia, sekaligus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi.

Sebanyak 35 penyertaan diterima daripada kalangan warga POLYCC dengan dua (2) kategori telah dipertandingkan iaitu Inovasi Sosial dan Penyampaian Perkhidmatan.

Hadir sama Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, YB Datuk Mohd Faizal Ramli; dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1401
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 04:02:30.

logo-sirim