KPT Akan Terus Teroka Peluang Kerjasama Pendidikan Tinggi Dengan Jerman

KPT Akan Terus Teroka Peluang Kerjasama Pendidikan Tinggi Dengan Jerman

Selepas United Kingdom, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar telah ke Jerman semalam bagi meneruskan lawatan kerja beliau ke Eropah yang bermula minggu lalu.

Di Berlin, beliau telah membuat kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Jerman, PYT Dr. Adina Kamarudin bagi mengungkapkan hasrat KPT yang mewakili sektor pendidikan tinggi Malaysia untuk memperbanyak jalinan kerjasama dengan IPT utama di situ.

Menurut beliau, pencapaian Jerman dalam pelbagai spektrum kejuruteraan layak dijadikan rujukan dan boleh dipelajari dengan siri-siri kerjasama dan kolaborasi strategik antara IPT kedua-dua negara melibatkan aspek pembangunan bakat, pertukaran kepakaran dan teknologi, penyelidikan dan inovasi, serta pemerkasaan TVET.

Selain bidang teknologi, YBhg. Dato' Seri KSU turut berharap skop kerjasama lain turut dapat diteroka, antaranya melibatkan program mobiliti pelajar dan pengajar, pewujudan Kursi Melayu, program pembangunan kapasiti, serta kebajikan dan pembangunan para pelajar.

Justeru, beliau berharap agar pihak Kedutaan dapat memainkan peranan dalam mempromosikan pencapaian dan hala tuju pendidikan tinggi Malaysia di negara itu dalam usaha membantu KPT menjayakan semua perancangan yang telah digariskan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berprestasi tinggi.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1532
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.