KPT Bersedia Membantu Kerajaan Republik Kyrgyz Dalam Transformasi Bidang Pendidikan Tinggi

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian telah mempengerusikan Mesyuarat Dua Hala Malaysia–Republik Kyrgyz bersama Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz, Tuan Yang Terutama Meder Abakirov serta delegasi pada pagi semalam.
Mesyuarat ini membincangkan status kemajuan draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan Kementerian Pendidikan dan Sains Republik Kyrgyz berhubung kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk potensi pemeteraian MoU itu sempena Lawatan Rasmi Presiden Republik Kyrgyz ke Malaysia pada 24 dan 25 Jun 2025. Turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta pembangunan institusi pendidikan tinggi yang lebih mapan.
Pihak Kyrgyz turut menyatakan hasrat agar Malaysia dapat berkongsi kepakaran dalam membantu usaha transformasi sistem pendidikan tinggi mereka yang sebelum ini berdasarkan kurikulum Kesatuan Republik Sosialis Soviet, agar lebih moden dan kompetitif. Di samping itu, delegasi Kyrgyz turut menyatakan minat untuk meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan negara mereka.
Pada masa yang sama, pihak delegasi Kyrgyz turut menyatakan bahawa mereka berminat untuk menghantar lebih ramai pelajar- pelajar mereka untuk belajar di Malaysia kerana budaya, taraf universiti dan kualiti pendidikan yang tinggi di Malaysia.
Turut hadir di pihak KPT ialah Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar dan Penasihat Undang-undang, Puan Fatin Khazin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 199