KPT Bersedia Membantu Kerajaan Republik Yaman Dalam Transformasi Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid pagi ini.
Pertemuan ini membincangkan beberapa perkara penting termasuk potensi kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan Yaman, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kapasiti pensyarah yang mampu memberikan manfaat bersama.
YB Menteri menyatakan kesediaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk membantu Kerajaan Yaman dalam membangunkan sebuah badan penilaian kurikulum dan akreditasi yang berwibawa.
TYT Dr. Adel merakamkan penghargaan kepada KPT dan IPT Malaysia atas sokongan dan bantuan kebajikan yang diberikan kepada pelajar-pelajar Yaman di negara ini. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan utama di rantau ini.
TYT Dr. Adel turut berkongsi perkembangan semasa konflik di Yaman dan pada penghujung pertemuan, beliau mengharapkan agar graduan Yaman daripada IPT Malaysia dapat diterima masuk dalam Skim Visa Pascasiswazah Malaysia (Malaysian Post-Graduate Visa Scheme) serta Program Visa Kemanusiaan Tahunan (Annual Humanitarian Visa Program).
Turut hadir di pihak KPT ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 76