KPT Dan Kerajaan Johor Sepakat Perkasa Pendidikan Tinggi Negara

KPT Dan Kerajaan Johor Sepakat Perkasa Pendidikan Tinggi Negara

Tanggungjawab membangunkan bakat yang berketerampilan, berilmu dan berkemahiran tinggi tidak seharusnya digalas oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sendirian.

Justeru, kerjasama dengan pihak industri atau mana-mana entiti lain amatlah dialukan supaya hasrat KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu dan bakat sejagat dapat direalisasikan.

Siang tadi, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi di pejabatnya di Putrajaya.

Pertemuan julung kali daripada kerajaan negeri ke atas YB Menteri tersebut mencerminkan usaha serta inisiatif Negeri Johor dalam melaksanakan satu daripada teras utama Maju Johor iaitu untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah membentangkan perancangan, pencapaian serta hala tuju sektor pendidikan tinggi masing-masing.

YB Menteri Pendidikan Tinggi berkata, "sangat penting agar kerajaan negeri terus memberi perhatian bukan sahaja sumber manusianya tetapi bakat-bakat daripada negeri Johor".

Menurutnya, "lahirnya bakat dari rakyat Johor yang mahir dan berpelajaran akan menjadi suatu “pull factor” bagi membawa lebih banyak lagi syarikat luar dan dalam negara untuk melabur di Johor".

"Selain mampu memperkukuh ekonomi negara, ia turut memberi manfaat kepada rakyat melalui perkongsian ilmu, kepakaran serta kemahiran pengendalian teknologi tinggi dan terkini", katanya lagi.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled turut berharap agar pertemuan tersebut mampu memangkin kesepaduan, kesefahaman serta kerjasama yang erat antara KPT dan Kerajaan Negeri Johor bagi menjayakan matlamat memperkasa sektor pendidikan tinggi negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, dan Komunikasi Negeri Johor, YB Norlizah Noh; serta delegasi Kerajaan Negeri Johor yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1791
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.