KPT Dan Republik Iraq Tingkatkan Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

KPT Dan Republik Iraq Tingkatkan Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada pagi ini telah menerima kunjungan hormat delegasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Iraq yang diketuai oleh Prof. Dr. Alaa Abdulhasan Attyah yang merupakan Utusan Khas Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Iraq.

Prof. Dr. Alaa Abdulhasan Attyah turut diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Iraq serta Kedutaan Besar Republik Iraq di Kuala Lumpur.

Semasa sesi pertemuan ini, YB Menteri Pendidikan telah menyatakan komitmen Malaysia untuk terus meningkatkan hubungan dua hala pendidikan tinggi dengan Republik Iraq melalui program kerjasama sedia ada dan baharu dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua buah negara.

Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Iraq menyambut baik hasrat tersebut dan mempelawa pelajar, pensyarah dan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta Malaysia untuk belajar dan bekerjasama dalam bidang-bidang utama seperti perubatan, Bahasa Arab, seni dan ketamadunan serta seni bina.

Kedua-dua pihak juga bersetuju supaya sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Republik Iraq dimeterai bagi memperbaharui MoU berhubung Kerjasama Budaya dan Saintifik yang telah dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Iraq pada tahun 1997.

Turut hadir di pihak KPT ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1862
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.