KPT Dan TalentCorp Bincang Kerjasama Perkasa Pembangunan Bakat

KPT Dan TalentCorp Bincang Kerjasama Perkasa Pembangunan Bakat

Sewaktu menyampaikan amanat tahun baharunya pada Januari lalu, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi telah menggariskan tiga (3) strategi penting dalam usaha memperkasakan bakat tempatan bagi merealisasikan agenda Malaysia Madani.

Menerusi strategi ketiga, YB Menteri telah mengumumkan komitmen Kementerian untuk merintis peluang kerjasama baharu bersama TalentCorp Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi menarik kedatangan bakat-bakat terbaik dari luar ke dalam Malaysia, sekali gus menjadikan negara sebagai sebuah hab bakat bereputasi tinggi di pentas global.

Justeru, pertemuan beliau dengan delegasi TalentCorp yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Thomas Mathew di pejabatnya hari ini telah membincangkan pelbagai perkara penting termasuklah pengukuhan kerjasama strategik sedia ada, antaranya melalui program MySIP dan MyNext.

Malah, siri kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu dapat mengelakkan pertindihan tanggungjawab, di samping berupaya melicinkan lagi pelaksanaannya kelak.

Sebagaimana diucapkan dalam amanat tahun baharu tersebut, kerjasama ini perlu dilihat sebagai langkah terbaik dalam melonjakkan sektor pendidikan tinggi negara yang mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang egalitarian, berbudaya tinggi dan berilmu.

Turut hadir YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2165
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.