KPT Komited Perkasa Sukan IPT, Siaga Persiapan Tuan Rumah AUG 2026

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pembangunan sukan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menerusi sokongan terhadap penganjuran program berprestasi tinggi.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia 2024 (MAS UKM 2024) semalam menegaskan komitmen Kementerian dalam membudayakan kecemerlangan sukan di peringkat IPT.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, lebih 30% atlet negara datang dari IPT dalam pelbagai sukan utama seperti olahraga, hoki, ragbi, skuasy dan bola jaring.
Menurut beliau, kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam UNIVERSIADE Chengdu 2023 membuktikan kemampuan atlet IPT bersaing di pentas dunia. Malah, persiapan untuk menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 kini giat digerakkan menerusi penganjuran SUKIPT 2026 dan penyertaan ke UNIVERSIADE 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman.
Majlis anugerah tahunan anjuran Pusat Sukan UKM ini memberi pengiktirafan kepada atlet, jurulatih dan penggiat sukan kampus atas sumbangan mereka dalam mengharumkan nama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa. Turut disampaikan ialah pengiktirafan kepada jurulatih sambilan serta pelancaran Kod Sukan Selamat sebagai inisiatif meningkatkan etika dan keselamatan sukan di kampus.
Dengan tema “Atlet Hebat, UKM Hebat”, majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian sukan, malah memperkukuh peranan UKM sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan modal insan holistik sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MAS UKM 2024 menyaksikan 24 jenis anugerah diberikan merangkumi kategori pelajar, kakitangan serta khas. Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr. Ester Salimun (Anugerah Olahragawati Kakitangan) ; Andri Dauni (Anugerah Olahragawan Kakitangan) ; Lim Jia Wei (Anugerah Olahragawati Pelajar); Muhammad Aiman Syazuwan Abdullah (Anugerah Olahragawan Pelajar); serta Dato' Prof. Dr. Azman Jarmin (Anugerah Tokoh Sukan).
Selain itu, pada edisi kali ini Anugerah Khas Juri (Tajaan) telah diberikan kepada Yayasan Azman Hashim serta Malaysia Cricket Association (MCA) atas sokongan serta kerjasama strategik mereka menghidupkan aktiviti-aktiviti sukan di UKM.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor yang menjalankan fungsi Naib Canselor; barisan pengurusan tertinggi UKM; serta tokoh legenda tenpin boling negara, Datuk Shalin Zulkifli yang turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Agenda Sepanjang Zaman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 193