KPT Komited Teruskan Kerjasama Dengan UNFPA

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada tengah hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang diketuai oleh Dr. Julitta Onabanjo, wakil UNFPA ke Malaysia.
Hubungan erat Malaysia bersama UNFPA telah terjalin sejak tahun 1973.
Dalam pertemuan ini, wakil UNFPA telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam dasar dan program utama yang akan membantu merapatkan jurang sosial dan pembangunan apabila melibatkan bidang kesaksamaan jantina, hak serta kesihatan seksual dan reproduktif, penuaan sihat (healthy aging), pemerkasaan belia, kesihatan ibu (maternal health), perancangan keluarga dan menaik taraf populasi terutama daripada golongan rentan.
YB Timbalan Menteri juga telah memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif dan insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia melalui KPT bagi menyokong usaha Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilaksanakan oleh agensi di bawah PBB seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan juga Dana Penduduk PBB.
Antara usaha yang dilaksanakan melalui KPT adalah menerusi pengenalan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM 2025-2035) yang mengambil kira serta memberi penekanan kepada SDG yang ditetapkan oleh PBB. Ini termasuk merancang serta melaksanakan dasar kesaksamaan jantina, mempromosikan kesihatan seksual dan reproduktif, memperkasakan belia, menangani keganasan berasaskan jantina (gender-based violance) dan memupuk pembangunan dasar berasaskan data. Usaha ini memanfaatkan kepakaran akademik dan keupayaan penyelidikan untuk menyokong kemajuan Malaysia ke arah mencapai SDG.
Kunjungan hormat ini juga telah disertai oleh pegawai-pegawai KPT.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 203