KPT Lancar Program Tauliah Industri Dan Profesional (KPTiP) Usaha Tingkat Kebolehpasaran Graduan

KPT Lancar Program Tauliah Industri Dan Profesional (KPTiP) Usaha Tingkat Kebolehpasaran Graduan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Perancangan Strategik dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP) sebagai inisiatif strategik meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan mereka mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik mereka.

Majlis Peluncuran yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di ibu negara siang tadi telah dihadiri lebih 250 jemputan, termasuk ahli akademia, pemain industri serta agensi berkaitan.

Menurut YB Menteri, program ini bertujuan menangani isu 'underemployment' yang dihadapi oleh graduan dengan membekalkan mereka kemahiran tambahan melalui latihan kompetensi dan pensijilan profesional yang relevan dengan industri.

"Kita sering mendengar bahawa kadar pengangguran dalam kalangan graduan tidak begitu serius, tetapi hakikatnya ramai yang bekerja di bawah kelayakan akademik mereka. Kita perlu memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang mereka dan salah satu cara adalah dengan membentuk kerjasama erat antara universiti dan industri," ujar beliau.

Majlis ini turut menyaksikan dua (2) pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) penting, iaitu antara KPT dengan PTPTN mengenai perkongsian dan pengintegrasian data, serta antara KPT dengan Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia - CILTM) bagi memperkukuhkan kerjasama program pembangunan bakat dalam bidang logistik dan pengangkutan.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program ini, latihan akan diberikan kepada pelajar tahun tiga dan tahun akhir di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi geran padanan berbentuk pinjaman bersama PTPTN.

Inisiatif ini juga mendapat sokongan daripada rakan strategik KPT seperti Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resource Development Corporation (HRDCorp) serta SIRIM Berhad.

YB Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menekankan bahawa pendidikan hari ini memerlukan fleksibiliti dan keterbukaan untuk memenuhi kehendak pasaran kerja yang semakin dinamik.

Melalui pelaksanaan KPTiP ini, beliau optimis bahawa lebih ramai graduan akan memiliki kelebihan kompetitif di pasaran pekerjaan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Selain itu, YB Menteri turut menegaskan kepentingan pendekatan kreatif dalam pendidikan tinggi, termasuk memperkenalkan konsep sabatikal untuk pensyarah di syarikat industri terkemuka, agar mereka dapat memahami keperluan sebenar industri dan mempersiapkan pelajar dengan lebih baik.

"Selama ini, cuti sabatikal pensyarah hanya tertumpu kepada universiti lain, sama ada dalam atau luar negara. Kita mahu mengubah paradigma ini dengan membolehkan mereka menjalani latihan di syarikat besar seperti Intel atau syarikat teknologi lain yang berkaitan dengan kepakaran mereka. Ini akan memperkukuh pemindahan pengetahuan dari teori ke aplikasi sebenar," jelas beliau.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi PTPTN, Dato' Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 273
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim