KPT Pastikan Pelajar Terjejas Kebakaran Terus Mendapat Sokongan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertindak pantas menyelaras bantuan kepada mangsa yang terlibat insiden di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam siri lawatannya hari ini memaklumkan bahawa pasukan khas telah digerakkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menyalurkan bantuan segera.
Bantuan yang diberikan merangkumi khidmat perubatan, kaunseling psikologi dan sokongan kemanusiaan kepada semua mangsa termasuk kanak-kanak. Pasukan perubatan daripada universiti-universiti yang mempunyai hospital serta sukarelawan Siswa MADANI turut digerakkan sebagai tanda solidariti warga pendidikan tinggi.
KPT turut memberi perhatian khusus kepada sembilan (9) pelajar yang terjejas dalam insiden ini dengan memberi bantuan kewangan, peralatan pembelajaran serta kelonggaran dalam urusan pendaftaran akademik bagi memastikan kelangsungan pendidikan mereka tidak terganggu.
Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen KPT untuk memastikan pendidikan pelajar kekal terjamin walaupun dalam situasi krisis.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 340