KPT Perkukuh Kerjasama Antara Malaysia – Algeria Melalui Sektor Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Algeria ke Malaysia, TYT Abdelhafid Bonour di Parlimen Malaysia pada pagi ini.
Antara topik yang dibincangkan adalah keperluan untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada supaya aspek kerjasama seperti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta mobiliti pelajar turut diliputi dalam MoU baharu nanti.
YB Menteri Pendidikan Tinggi turut menyatakan bahawa mobiliti pensyarah antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan, terutamanya dalam program Bahasa Inggeris kepada pensyarah Algeria di Malaysia serta program Pengajian Islam dan Bahasa Arab bagi pensyarah Malaysia di Algeria. Beliau juga berharap agar bilangan pelajar Malaysia yang menerima biasiswa daripada Kerajaan Algeria dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
TYT Abdelhafid Bonour pula menyatakan bahawa Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi destinasi utama bagi pelajar-pelajar Algeria untuk melanjutkan pengajian.
Hadir sama dalam sesi ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 164