KPT Perkukuh Kerjasama Malaysia - COL

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Commonwealth of Learning (COL) yang diketuai oleh Prof. Peter Scott, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) COL pada pagi ini.
YB Menteri merakamkan penghargaan kepada pihak COL yang terlibat aktif membantu Malaysia dalam pelbagai program dan inisiatif yang direka untuk meningkatkan pendidikan melalui pembelajaran terbuka dan jarak jauh serta di peringkat nasional dan antarabangsa.
Wakil COL turut berkongsi hasrat untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam dasar dan program utama yang akan menumpukan kepada usaha mempromosikan Pembelajaran untuk Pembangunan Mampan/ ‘Learning for Sustainable Development’. Ini bermakna, pembelajaran tersebut mesti membawa kepada peluang pertumbuhan ekonomi, rangkuman sosial dan pemuliharaan alam sekitar. Usaha ini dapat dicapai dengan memperkasakan Open Distance Learning dan juga Technology-Enhanced Learning (TEL).
Kedua-dua pihak juga telah bertukar pandangan mengenai kerjasama yang telah berlangsung di antara Malaysia dan COL, serta berkenaan potensi kerjasama yang dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
KPT juga sentiasa komited di bawah bidang kuasa sedia ada, dengan kerjasama COL untuk mempertingkatkan lagi celik digital dalam kalangan pensyarah dan pelajar, meluaskan akses kepada semua golongan masyarakat dan menyokong inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran melalui teknologi yang berfokuskan tiga (3) komponen utama seperti berikut:
🔸 Purpose-Driven High-Performance Talent;
🔸 Advanced TVET Competency; dan
🔸 Flexible Education dan Lifelong Learning/ Life Wide Learning
Kerjasama yang terjalin ini menggariskan komitmen KPT dalam membentuk komuniti pembelajaran yang lebih inklusif dan terhubung di seluruh negara Komanwel serta memacu Malaysia ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pegawai-pegawai kanan Kementerian serta wakil universiti.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 257