KPT Raikan 137 Orang Pegawai Penerima Anugerah Kecemerlangan

KPT Raikan 137 Orang Pegawai Penerima Anugerah Kecemerlangan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT Tahun 2024 bagi menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang warga KPT.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hadir dari seorang pemimpin sahaja tetapi lahir daripada sebuah pasukan yang saling mempercayai, menyokong dan berkhidmat sepenuh hati.

“Di KPT, kita harus bergerak sebagai satu pasukan” ujar beliau ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT di sini pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan kita seharusnya mengubah paradigma ‘I’ kepada ‘WE’ kerana hanya dengan kekuatan kolektif, KPT mampu melangkah ke hadapan sebagai peneraju pendidikan tinggi negara dan rantau.

Pada majlis pagi tadi, seramai 17 orang penerima Anugerah Kecemerlangan Seri Utama (AKSU), 7 orang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan 113 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) telah diberi penghargaan atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, YB Menteri turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima anugerah dan menyatakan warga kementerian adalah nadi kecemerlangan KPT, bukti bahawa setiap usaha, walau sekecil apa sekalipun, membawa impak besar kepada pendidikan negara.

Akhir kata, beliau berharap semoga dengan penganugerahan yang diberikan kepada para penerima akan menambahkan lagi keazaman untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Kementerian, sekaligus memberi sumbangan kepada negara agar menjadi sebuah Kerajaan yang baik untuk dicontohi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Haji Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 257
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim