KPT Sasar 35 Pingat Emas Di Kejohanan Sukan Universiti Asean (Aug), Indonesia
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meletakkan sasaran 35 pingat emas sekaligus berada dalam kalangan tiga negara terbaik pada Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) yang bakal berlangsung dari 25 Jun sehingga 6 Julai ini di Surabaya dan Malang, Indonesia.
Dalam majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT Malaysia ke AUG 2024 di Putrajaya pagi tadi, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meletakkan sasaran itu berdasarkan kemampuan, disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan atlet selain prestasi cemerlang 2 tahun lalu dengan pencapaian melebihi sasaran (49 pingat emas).
Penyertaan kali ini melibatkan 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara yang disertai kontinjen negara bakal berentap bersama 11 negara ASEAN lain.
YB Menteri dalam ucapannya berkata, semua atlet IPT yang terpilih ini membawa imej negara dan membawa obor perjuangan negara.
"Moga kali ini kebih banyak pingat emas dibawa pulang. Kita menyasarkan sebanyak 35 pingat emas dibolot pada kejuaraan kali ini sekaligus berada dalam kalangan tiga negara terbaik" tambahnya lagi.
Dalam pada itu, YB Menteri turut mengumumkan pertambahan insentif kepada pemenang-pemenang yang berjaya merangkul pingat kejuaraan iaitu RM3,000 kepada pemenang pingat Emas, RM2,000 pingat Perak dan RM1,500 kepada atlet yang berjaya merangkul pingat Gangsa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 791