KPT Sasar IPTA Jadi Hab Pendidikan Pertahanan, Inovasi Aeroangkasa Dan Sains Maritim Serantau

KPT Sasar IPTA Jadi Hab Pendidikan Pertahanan, Inovasi Aeroangkasa Dan Sains Maritim Serantau

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dalam bidang pendidikan pertahanan, inovasi aeroangkasa dan sains maritim.

Beliau berkata, inisiatif ini seiring dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 dan fokus utama KPT tahun 2025 bagi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

“Perjanjian-perjanjian yang ditandatangani hari ini bukan sekadar dokumen, tetapi pemangkin kepada perubahan dalam landskap pendidikan tinggi negara. Kita ingin melahirkan tenaga pakar dan inovator yang mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan sektor pertahanan, maritim dan aeroangkasa,” ujar beliau dalam Majlis Pertukaran MoU/MoA/LOI di Pavilion KPT sempena Pameran LIMA’25.

Majlis tersebut melibatkan tujuh (7) universiti awam dan dua (2) politeknik yang menandatangani dokumen kerjasama bersama 16 rakan industri meliputi bidang penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

Sebagai simbol kekuatan tempatan, sebanyak 13 produk penyelidikan dan inovasi dalam bidang maritim, aeroangkasa, teknologi pertahanan dan kecerdasan buatan (AI) telah dipamerkan di MOHE Pavilion oleh sembilan (9) universiti awam dan satu (1) politeknik.

“Dengan semangat kolaboratif dan iltizam yang tinggi, kita mampu menempatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang-bidang kritikal ini, sekali gus memperkukuh kedaulatan ilmu dan teknologi negara,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta para Pengurusan Tertinggi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 198
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim