KPT-SC Meterai Kerjasama Tingkat Kebolehpasaran Graduan Dalam Pasaran Modal
Potensi besar yang ditawarkan oleh industri pasaran modal dan sekuriti mampu menjanjikan peluang kerjaya yang menarik dan lumayan kepada para graduan bidang tersebut di Malaysia.
Namun, ramai yang memilih untuk ke pasaran luar negara kerana tawaran pendapatan yang sangat lumayan berbanding tempatan, sekali gus menyumbang kepada penurunan bilangan pakar dan bakat yang ada dalam Malaysia.
YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian dalam ucapannya sewaktu menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.
Memorandum tersebut bakal memperkenalkan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) yang akan menyediakan pakej latihan teknikal yang lengkap dan bernilai tinggi yang dibangunkan hasil kolaborasi industri dan universiti awam yang mampu meningkatkan kebolehpasaran para graduan serta bakat terbaik tempatan dalam merancakkan lagi industri pasaran modal dan sekuriti negara.
Hadir untuk menandatangani MoU tersebut ialah YBrs. Encik Rizal Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa) JPT yang menjalankan fungsi sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, dengan SC diwakili oleh Pengerusinya iaitu YBhg. Datuk Seri Awang Adek Hussin, sambil upacara tersebut turut disaksikan oleh YB. Dato' Haji Muhammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi serta YBhg. Dato' Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3921