KPT Sedia Rangka Dasar Pendidikan Tinggi Baharu Persiapkan Tenaga Kerja Masa Hadapan

KPT Sedia Rangka Dasar Pendidikan Tinggi Baharu Persiapkan Tenaga Kerja Masa Hadapan

Seterusnya, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah hadir menyertai forum 'Ministers Pioneering Excellence: Creating A Talent Drive Economy - Government Policies and Practices' bersempena sambutan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang telah dianjurkan oleh HRD Corp di ibu negara malam tadi.

Beliau bersama tiga (3) orang lagi Menteri Kabinet termasuklah Menteri Sumber Manusia; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membincangkan berkenaan peranan kementerian masing-masing dalam merangka dasar serta polisi bagi mewujudkan ekonomi berasaskan bakat.

Di pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YB Menteri telah memfokuskan perbincangan kepada misi beliau dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan melalui pembangunan dasar pendidikan tinggi yang holistik serta strategi pengurusan bakat yang mampan.

Tegasnya, KPT sentiasa berganding bahu dengan kementerian lain dalam mencapai objektif melahirkan tenaga kerja yang memiliki pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang diperlukan oleh negara.

Tambahnya lagi, tanggungjawab KPT turut mempersiapkan para graduan yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan kerja semasa, malah terampil serta kalis masa hadapan.

Untuk itu, KPT melalui kepimpinannya telah diminta untuk meneliti semula kesesuaian sistem pendidikan tinggi negara agar ia selari dengan kemajuan teknologi, pendekatan dan cara baharu, serta cocok dengan perkembangan industri global.

Antara yang ditawarkan oleh KPT ialah pengenalan program 2U2I (2 tahun universiti, 2 tahun industri) bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus; program microcredentials di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memperkasakan usaha reskilling dan reskilling para pekerja; juga membanyakkan program pengajian menggunakan konsep Work Based Learning (WBL) bersama sektor industri.

Merujuk kepada sesi dialog beliau bersama para pemain industri E&E (Electrical and Electronic) tempohari, KPT turut cakna akan tanggungjawab serta peranan yang perlu dimainkan secara proaktif oleh setiap IPT dalam meletakkan potensi bakat negara antara yang terbaik di rantau ini serta di peringkat global.

Malah, kerajaan juga katanya, sedang merangka polisi pasaran kerja yang lebih terbuka dan terangkum, di mana mereka yang cemerlang dalam pengajian atau memiliki kemahiran dalam bidang masing-masing akan mempunyai peluang sama rata serta menikmati gaji premium.

Pada majlis tersebut, beliau turut bertukar-tukar pandangan serta menjawab soalan daripada para jemputan yang hadir. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2472
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim