KPT Semarakkan Pembudayaan Membaca Sempena Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus menyokong usaha pembudayaan amalan membaca dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Program Semarak Ilmu 2025 @ KPT yang diadakan bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Program yang dianjurkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim di sini pagi tadi.
Program ini merupakan permulaan kepada siri kempen Galakan Membaca yang sedang, telah dan akan terus dilaksanakan secara berjadual sepanjang tahun 2025.
Usaha ini mencerminkan komitmen KPT dalam memperkukuhkan budaya membaca sebagai teras kepada pembangunan ilmu dan masyarakat berpengetahuan.
Penganjuran program ini turut menjadi tanda sokongan KPT terhadap inisiatif Dekad Membaca Kebangsaan serta kempen perpaduan membaca yang digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia.
Bertemakan “Nikmati Saat Ini”, program tahun ini memberi penekanan kepada kepentingan menghargai masa dan ilmu sebagai aset kehidupan.
Antara pengisian utama termasuk sesi Bicara Ilmu oleh Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Siti Fariza Mohamad Isa; serta Jom Baca Bersama 10 Minit, sesi bacaan serentak oleh semua hadirin.
Turut disampaikan ialah Anugerah Pembaca Aktif Tahunan 2024 bagi kategori Pengurusan & Profesional serta Pelaksana dan Anugerah Bahagian Paling Aktif – Library 2U sebagai pengiktirafan kepada individu dan bahagian yang aktif dalam memupuk budaya membaca.
Penyertaan program kali ini amat menggalakkan dengan kehadiran warga KPT, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Politeknik Banting.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 128