KPT Terus Berdaya Masyarakat Menerusi Program Pemindahan Ilmu

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memberdaya dan membangunkan masyarakat menerusi Program Pemindahan Ilmu (KTP) bagi menghubungkan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bersama kelompok komuniti setempat.
Program yang berbentuk pemindahan ilmu melalui pertukaran idea kreatif dan inovatif, penyelidikan dan kajian kepada masyarakat itu mampu memajukan, membangunkan dan memberdaya masyarakat untuk bermandiri.
Siang tadi, berlangsung Majlis Peluncuran Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat MADANI Pangkor di Kampung Tengah, Pangkor, Perak oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat setempat dan wakil agensi Kerajaan.
Menurut YB Menteri, projek yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan universiti menjadi pusat pemindahan ilmu yang berimpak tinggi dan memberikan manfaat kepada komuniti.
Beliau menekankan bahawa segala kepakaran dan fasiliti universiti harus dimanfaatkan sepenuhnya selari dengan fokus utama KPT bagi memperkasa ekonomi masyarakat melalui pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
"Projek ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melindungi alam sekitar demi kelestarian ekosistem Pangkor.
la selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan universiti sebagai pusat inovasi dan pemangkin pembangunan sosial," jelasnya ketika berucap.
Projek itu menekankan lima (5) elemen utama iaitu pelaksanaan yang pantas, impak yang tinggi, mampu milik, kebolehpasaran serta kelestarian.
UMT juga menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan bagi memastikan kejayaan projek serta memperkukuhkan kerjasama dengan rakan strategik.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 195