KPT Tinjau Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI Kg. Pulau Masjid Tanah

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md Amir telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka semalam sempena pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI KPT.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau kemajuan dua (2) projek fizikal dan dua (2) program komuniti yang dilaksanakan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pelaksana.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan KPT, Haji Ghazali Hizam; wakil Majlis Perbandaran Alor Gajah; pegawai pembangunan dan penyelidik UTeM; serta penduduk kampung yang akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek.
Mengikut perancangan, projek pembinaan dewan terbuka yang sedang dilaksanakan bakal menyediakan ruang serbaguna untuk pelbagai aktiviti pendidikan, keagamaan, sosial dan riadah.
Kemudahan tersebut berperanan sebagai pusat penggerak komuniti dan dijangka menjadi mercu tanda baharu yang merapatkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk.
Sementara itu, kerja-kerja menaiktaraf gelanggang futsal pula bakal menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dan penyertaan aktif belia dan komuniti dalam aktiviti riadah.
Pada masa yang sama, program penanaman tembikai wangi (rock melon) secara fertigasi turut diperkenalkan kepada penduduk kampung dalam usaha menerapkan aktiviti pertanian moden melalui teknologi fertigasi agar
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan hasil pertanian serta membuka peluang pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
KPT turut juga membawa satu lagi program rintis iaitu akuakultur berasaskan Internet of Things (IoT).
Teknologi tersebut membolehkan pemantauan dan pengurusan kolam ikan dilakukan secara pintar dan automatik, yang dijangka meningkatkan hasil ternakan dan kecekapan operasi.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI KPT merupakan antara usaha strategik Kementerian untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui pemerkasaan komuniti setempat dengan sokongan IPTA.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek, selain memperkukuh sinergi antara Kementerian, IPTA dan masyarakat ke arah ekosistem pembangunan yang inklusif dan mampan.
Kredit Foto : Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 193