KSN Umum 5 BKR Realisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam

Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui amanat sulungnya petang tadi telah menggariskan lima (5) Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) yang diperkasakan dengan 20 strategi bagi merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam beliau.
Lima (5) BKR tersebut adalah Penghayatan Nilai dan Tatakelola; Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Organisasi; Penyampaian Perkhidmatan; serta Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.
Berucap kepada kira-kira 1000 orang para penjawat awam termasuklah para pengurusan tertinggi kementerian dan perkhidmatan awam pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024 sebentar tadi, beliau menyatakan kebanyakan BKR itu mudah dicapai, namun ada jua yang memerlukan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang.
Bagi menjayakan BKR itu juga, beliau telah turut memperkenalkan pendekatan AI Strategy (Associated and Integrated Strategy) yang mana akan meningkatkan sinergi kerajaan dengan sektor swasta, dan pada masa yang sama mampu mengukuhkan integrasi sesama jabatan kerajaan.
Selain itu, ia boleh dilaksanakan dengan mengetengahkan inisiatif yang memberikan pulangan kepada nilai wang yang dilaburkan dan memastikan setiap inisiatif yang hendak dilaksanakan menyumbang secara langsung kepada matlamat ekonomi MADANI.
Tambah beliau lagi, terdapat dua (2) pemboleh daya utama yang boleh membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam selain daripada inisiatif yang dilaksanakan.
Pemboleh daya utama tersebut adalah pemantauan pengukuran dan penilaian prestasi; serta komunikasi total.
“Saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian dan penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.
“Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama yang bersesuaian.
Saya yakin, ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia,” katanya.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan KSU (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta pengurusan tertinggi KPT yang lain.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2590