KSU Bentang Peranan 'Non-State Actors' Pelihara Kelestarian Alam Sekitar

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Seminar Etika Alam Sekitar: Mencari Keseimbangan di Era Moden bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keseimbangan antara pembangunan teknologi dan pemeliharaan alam sekitar.
Program ini memfokuskan isu global seperti perubahan iklim dan pencemaran, sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero Carbon Emission) menjelang tahun 2050.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah hadir siang tadi untuk menyampaikan pembentangan bertajuk "Eco-shift for Climate Actions for Non-State Actors on Environmental Sustainability".
Selaku pakar alam sekitar serta pernah mengetuai delegasi negara ke Persidangan Perubahan Iklim (COP), beliau menegaskan pentingnya peranan 'non-state actors' seperti akademia, NGO, dan masyarakat umum dalam menyokong agenda kelestarian.
“Yang perlu diubah adalah pemikiran kita, gaya hidup kita, kerana perubahan kelestarian tidak hanya bergantung kepada dasar-dasar atau teknologi, tetapi kepada sikap dan akhlak manusia terhadap alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk mengambil langkah praktikal seperti menyokong pengangkutan lestari dan melindungi ekosistem melalui penanaman semula hutan.
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia sedang berusaha mengurangkan emisi gas rumah kaca (green house gas - GHG) sebanyak 45% menjelang tahun 2030 melalui tindakan tanpa syarat (unconditional) dan strategi mitigasi serta adaptasi iklim.
Penganjuran seminar sebegini menegaskan komitmen UTM sebagai pelopor dalam penyelidikan inovasi lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan Perjanjian Paris.
UTM berharap wacana ini menjadi platform dialog untuk menggalakkan gaya hidup lestari demi masa depan yang lebih hijau.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias; serta Pro Naib-Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 174