KSU KPT Buat Lawatan Kerja Ke UMT, Tinjau Perkembangan Projek Pembangunan

KSU KPT Buat Lawatan Kerja Ke UMT, Tinjau Perkembangan Projek Pembangunan

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pada siang tadi telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi meninjau perkembangan projek pembangunan serta inisiatif-inisiatif terkini di universiti tersebut.

Disambut oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan pengurusan tertinggi universiti, lawatan dimulakan dengan kunjungan ke tapak Projek Pembinaan Kompleks Akademia UMT.

Semasa di sana, beliau diberi taklimat oleh pihak Pejabat Pembangunan dan Harta (PPH) UMT berkenaan status dan kemajuan projek yang dijangka memberikan impak signifikan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UMT.

Seterusnya, rombongan bergerak ke tapak Projek Sistem Tebatan Banjir dan Sistem Pencegahan Hakisan Pantai yang turut mendapat perhatian kerana kedudukannya yang strategik berdekatan kawasan pantai.

Projek berkenaan dilihat sebagai usaha proaktif UMT dalam memastikan keselamatan kampus daripada kesan perubahan iklim serta memelihara kelestarian ekosistem persekitaran.

Lawatan diteruskan ke Kolej Kediaman UMT, di mana YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berpeluang mendengar taklimat mengenai Projek Serambi Niaga yang disampaikan oleh Pengarah Kolej Kediaman dan Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM).

Beliau telah dimaklumkan bahawa projek tersebut bertujuan menyediakan platform kepada pelajar untuk meneroka peluang keusahawanan, sekaligus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran kerjaya selepas tamat pengajian.

Pada petangnya, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini turut hadir bagi merasmikan Majlis Pembukaan CU Malaysia@UMT, satu inisiatif yang dijangka menyumbang kepada pembangunan kebolehpasaran graduan melalui pelbagai program dan latihan berfokuskan keusahawanan.

Program siang tadi kemudiannya diakhiri dengan sesi lawatan ke Kompleks Siswa UMT.

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam ucapan penutupnya menekankan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi untuk terus menyokong inisiatif pembangunan infrastruktur dan program yang dilaksanakan oleh UMT, selaras dengan usaha meningkatkan daya saing Institusi Pendidikan Tinggi tempatan di peringkat global. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 446
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 04:02:30.

logo-sirim