KSU KPT Terima Surat Lantikan Ahli Lembaga Pengarah UniMAP

KSU KPT Terima Surat Lantikan Ahli Lembaga Pengarah UniMAP

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim hadir ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pagi tadi bagi menerima surat lantikan rasmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah (LPU) universiti tersebut.

Pelantikan yang berkuat kuasa sehingga 7 Mei 2026 adalah selaras dengan Seksyen 18(1) Perlembagaan UniMAP yang memperuntukkan wakil kementerian sebagai ahli dalam Lembaga Pengarah bagi memperkukuh sistem tadbir urus universiti awam.

Turut diadakan, sesi suai tugas bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada YBhg. Datuk Dr. Anesee mengenai peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada LPU, termasuk struktur pentadbiran serta hala tuju strategik universiti.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dalam sesi berkenaan telah menyampaikan surat ucapan tahniah kepada YBhg. Datuk Dr. Anesee, diikuti taklimat berkenaan pelan pembangunan institusi, bidang tujahan universiti, serta peranan LPU dalam menyokong agenda akademik dan pentadbiran UniMAP.

Sesi turut disertai barisan pengurusan utama universiti termasuk para dekan, pengarah pusat, dan pegawai kanan pentadbiran yang menyokong pelaksanaan dasar dan strategi UniMAP.

Terdahulu, YBhg. Datuk Dr. Anesee telah turut dibawa melawat sekitar kampus Pauh Putra bagi meninjau kemudahan yang disediakan untuk pelajar dan penyelidik.

Lawatan kerja beliau ke UniMAP turut merangkumi sesi lawatan tapak ke projek-projek pembangunan utama universiti seperti pembinaan Dewan Tuanku Canselor, Masjid dan Pusat Islam, serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi (PPK Bahan dan PPK Sistem Elektrik).  

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 174
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim