KSU KPT Tinjau Pelaksanaan Program Sijil Tvet Di Kolej Komuniti Arau

Usai di UniMAP, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah meneruskan kunjungan ke destinasi seterusnya iaitu Kolej Komuniti Arau (KKA) bagi meninjau pelaksanaan program-program sijil dan kursus pendek yang ditawarkan di situ.
KKA yang ditubuhkan pada tahun 2001 kini menawarkan enam (6) program sijil sepenuh masa merangkumi Teknologi Elektrik, Teknologi Senibina, Teknologi Maklumat, Teknologi Pemprosesan Makanan, Fesyen dan Pakaian serta Sijil Khas Pemprosesan Makanan untuk pemohon Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Masalah Pembelajaran.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengarah KKA, Rosnizam Kamis yang turut memberikan taklimat mengenai pencapaian, objektif serta hala tuju Institusi Pendidikan TInggi Awam (IPTA) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) tersebut, termasuk kampus cawangan KKA di Kangar.
YBhg. Datuk Dr. Anesee turut mengadakan sesi dialog bersama warga institusi di bawah rangkaian POLYCC Negeri Perlis termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), membincangkan pelbagai isu semasa dan perkembangan terkini program TVET di peringkat negeri.
Sebagai simbolik penglibatan industri dalam pendidikan, beliau menyertai pelajar dan wakil syarikat Seleraku Trading Sdn. Bhd. dalam sesi memanggang 300 keping burger jenama 'Oblong' di bawah inisiatif 'Industry-On-Campus (IOC)', yang kemudiannya diagihkan kepada pelajar golongan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang.
Lawatan turut menyaksikan pelaksanaan program Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) melalui kursus pendek pembuatan minuman soya dan tauhu keras yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat sebagai usaha menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan kemahiran.
Hadir sama Pengarah PTSS, Ts. Khairul Anuar Ishak; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 225